Khamis, 28 April 2011

Berpakaian Menurut Islam

Setiap kali ingin keluar rumah, masalah utama yang merungsingkan fikiran bagi sesetengah orang pastilah tentang pakaian. Ini kerana pandangan orang yang pertama pasti pada pakaian yang dipakai. Tidak mengapa, jangan pening. Sebagai seorang Muslim, Islam telah menggariskan beberapa panduan dan tips supaya pakaian kita nampak cantik di mata manusia dan juga pada pandangan ALLAH.

Pastikan pakaian kita menutup aurat 
Perkara pertama yang perlu dilihat ialah, adakah pakaian yang kita pakai seharian benar-benar menutup aurat?? Apakah batasan menutup aurat bagi lelaki dan perempuan sama?? Untuk perhatian pembaca, ahli hukum telah menegaskan bahawa aurat lelaki ialah daripada pusat hingga ke lutut. Manakala aurat wanita pula ialah seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan.


Tidak menampakkan tubuh
Apa beza menutup aurat dan membalut aurat?? Membalut aurat samalah seperti kita memakai pakaian yang menutup aurat tapi masih menampakkan bentuk tubuh badan kita. Contohnya baju yang sendat seperti baju adik dan juga seluar jean yang rasa mencengkam kaki dan peha, termasuklah legging serta pakaian yang jarang. Pakai tudung tetapi bertocang tinggi dan bersanggul yang ketara. Sangat menakutkan apabila membaca sebuah hadis yang berkenaan hal ini. Rasulullah SAW telah bersabda:


"Dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku lihat ialah satu golongan yang memegang tali cemeti seperti ekor lembu yang digunakan bagi memukul manusia, dan satu golongan lagi ialah wanita yang memakai pakaian tetapi bertelanjang, dan meliuk-letokkan badan juga kepalanya seperti bonggol unta yang tunduk. Mereka tidak masuk syurga dan tidak dapat mencium baunya walaupun bau syurga itu dapat dicium dari jarak yang jauh."(HR Muslim)


Berbeza antara lelaki dan perempuan
Kita pasti sedia maklum bahawa pakaian lelaki dan perempuan berbeza. Golongan lelaki ada pakaian yang khusus yang menunjukkan imejnya sebagai lelaki. Maskulin dan macho. Begitu juga para wanita yang ada pakaian khusus yang menampilkan sisi  feminin dalam diri mereka. Rasulullah SAW menegaskan kepada kita dalam sabdanya: "ALLAH telah mengutuk wanita yang meniru pakaian dan sikap lelaki, dan lelaki yang meniru sikap perempuan." (HR Bukhari dan Muslim)
Baginda juga bersabda: "ALLAH melaknat lelaki berpakaian wanita dan wanita berpakaian lelaki." (HR Abu Daud dan Al-Hakim)


Memilih warna sesuai
Bagaimana untuk memilih warna-warna pakaian yang sesuai?? Rasulullah SAW bersabda, "Pakailah pakaian putih kerana ia lebih baik, dan kafankan mayatmu dengannya (kain putih)." (HR An-Nasaie dan AL-Hakim)
Warna-warna lembut termasuklah putih kerana ia nampak bersih dan warna ini sangat disenangi serta sering dijadikan pilihan Rasulullah SAW. Sebaliknya pakaian yang berwarna terang mungkin akan menarik perhatian orang lain untuk memandang. Bukankah wanita yang solehah tidak memandang dan tidak dipandang?


Terdapat beberapa hadis yang menceritakan Rasulullah gemar memakai pakaian berwarna hijau, hitam dan merah. Antaranya yang diriwayatkan oleh Abu Ramtsah, maksudnya: "Saya pernah melihat Nabi SAW mengenakan dua helai pakaian yang berwarna hijau." (HR Tirmizi, Nasa'i dan Ahmad)


Selepas membeli pakaian bacalah doa
Abu Daud dan At-Tarmizi meriwayatkan sewaktu memakai pakaian yang baru dibeli hendaklah melafazkan, "Ya ALLAH, segala puji bagi-MU, ENGKAU yang memakaikannya kepadaku, Aku memohon kepadaMU kebaikan apa-apa yang dibuat baginya, aku memohon kepadaMU perlindungan kepadaMU daripada kejahatannya dan kejahatan apa-apa yang diperbuat untuknya. Demikian itu telah datang kepada Rasulullah".


Mulakan sebelah kanan
Siapa yang selalu menyarung baju atau seluar didahului oleh anggota sebelah kanan? Bagus! Imam Muslim meriwayatkan daripada Saidatina Aisyah bermaksud: "Rasulullah suka sebelah kanan dalam segala keadaan, seperti memakai kasut, berjalan kaki dan bersuci."


Rasulullah suka untuk menegaskan kepada kita agar memulakan memakai sesuatu dengan mendahulukan dengan sebelah kanan, dan apabila menanggalkannya pula dengan sebelah kiri. Rasulullah SAW bersabda lagi: "Apabila seseorang memakai kasut , mulakan dengan sebelah kanan, dan apabila menanggalkannya, mulakan dengan sebelah kiri supaya kanan yang menjadi pertama memakai kasut dan yang terakhir menanggalkannya." (HR Muslim)


Tidak menimbulkan riak
Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang melabuhkan pakaiannya kerana sombong, ALLAH tidak akan memandangnya pada hari kiamat."
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang memakai pakaian berlebih-lebihan, maka ALLAH akan memberikan pakaian kehinaan pada akhirat nanti." (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'i dan Ibnu Majah)


Sebelum memakai pakaian bacalah doa
Siapa tahu doa memakai pakaian? Haa,,lupa? Doanya begini..
"Pujian bagi ALLAH yang mengurniakan pakaian ini untuk menutup auratku dan dapat mengindahkan diri dalam kehidupanku, dengan nama ALLAH yang tiada Tuhan melainkan Dia."


Islam sama sekali tidak menetapkan warna dan design pakaian yang kita hendak pakai untuk beribadat atau keluar menunaikan urusan kita. Yang penting mestilah menutup aurat, bersih dan tidak menunjuk-nunjuk. Pilihan di tangan kita untuk mengamalkan sunnah Rasulullah kerana Baginda merupakan contoh teladan yang terbaik. Pakaian yang baik menyerlahkan peribadi dan akhlak mulia dalam diri kita sebagai seorang muslim yang bertaqwa kepada ALLAH.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sesungguhnya peringatan itu bermanfaat kepada orang-orang yang beriman (QS 51:55)