Dalam satu wasiat Nabi Muhammad s.a.w. kepada Ibnu Umar (Abdullah) r.a. berbunyi: "Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang musafir atau pun sebagai pengembara."
Huraiannya Hadis ini menganjurkan kepada kita supaya sentiasa mengingatkan mati dan mengurangkan cinta keterlaluan terhadap dunia yang fana ini.
Ibnu Umar pernah berkata: Jika anda masih hidup pada waktu pagi, jangan tunggu hingga ke petang dan jika anda masih hidup pada waktu petang, jangan tunggu hingga ke pagi, sediakan dirimu pada masa hidup untuk bekalan waktu mati, dan pada masa sihat untuk bekalan waktu sakit.
Justeru, wasiat Nabi di atas sentiasa mengingatkan kita betapa kita bagaikan musafir yang sedang berlalu sementara di dunia ini, maka apakah persiapan bekalan yang telah kita buat bagi menghadapi Allah SWT pada hari yang penuh dengan persoalan di padang Mahsyar? Kita tidak akan hidup kekal dan lama di dunia, oleh itu, jangan sekali-kali kita melakukan kejahatan. Jika kejahatan yang dilakukan boleh menyebabkan kita tidak mati, maka lakukanlah, tetapi kejahatan yang kita buat semasa hidup di dunia, kesemuanya akan ditayangkan semula di hadapan Allah oleh para jururakam di kalangan para Malaikat, walaupun kita telah melupakannya, tetapi Allah sekali-kali tidak demikian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sesungguhnya peringatan itu bermanfaat kepada orang-orang yang beriman (QS 51:55)