Rabu, 20 April 2011

~Hentikan mengeluh~

"kenapa aku yang kena?","boringlar hidup nie..","bila semua ini nk berakhir?"...dan macam-macam lagi keluhan lagi yang pernah saya dengar. Malah saya sendiri pernah juga melafazkan keluhan. Kenapa manusia suka mengeluh? adakah bagus perbuatan ini? bagaimana untuk menangani diri yang suka mengeluh?


"Sesungguhnya manusia itu diciptakan dengan sifat suka mengeluh. Apabila ditimpa musibah dia mengeluh dan apabila ditimpa kesenangan berupa harta dia menjadi bakhil."(Surah Al-Maarij: 19-21)


Nah, memang lumrah manusia suka mengeluh. Apabila diuji dengan pelbagai masalah mulalah mulut mengeluh sana-sini termasuklah di facebook. Bukan saya katakan salah, sememangnya hak mereka hendak tulis apa pun tetapi cubalah berfikir. Kalau orang baca, apa yang mereka fikir tentang kita.Yang prihatin cakap, "Kesian dia..", macam itu ok lagi. Kalau, "bosan betul, tak habis-habis nak mengeluh, macam orang takde semangat nak hidup". Haa..ada fikir tak??


Sebagai hamba yang lemah, memang kita tidak dapat lari dari sikap suka mengeluh. Namun sewajarnya kita cuba mengurangkannya supaya sifat buruk ini tidak menguasai dan mengubah karektor diri kita.


Langkah pertama ialah biasakan diri mengadu kepada ALLAH kerana DIA Yang Maha Mengetahui segala persoalan dan kegundahan di jiwa.
"Sesungguhnya hanyalah kepada ALLAH aku adukan segala kesusahan dan kesedihanku, dan aku mengetahui segala dari ALLAH yang tidak kamu ketahuinya,"(Surah Yusuf: 86)


Kedua, boleh berkeluh kesah pada orang lain, jika ia suatu yang penting. Ini mungkin berkaitan dengan keupayaan kita untuk mendapatkan hak, atau hak orang lain yang kita kenali. Kadangkala memiliki keluhan dan menyampaikan keluhan kepada orang lain itu penting, asalkan apa yang dikongsikan itu baik dan berlebih-lebihan.


Ketiga, daripada anda mengeluh yang tidak berkesudahan, lebih baik bicarakan penyelesaian yang praktikal atas permasalahan yang kita hadapi. Tiada masalah yang tiada penawarnya. Jika menemui jalan buntu, mintalah bantuan dari ALLAH SWT.


Keempat, jangan membesar-besarkan hal yang kecil. Anas bin Malik berkata, "Saya melayani Rasulullah SAW selama dua puluh tahun dan baginda tidak pernah mengatakan 'aah' pada saya. Dan baginda juga tidak pernah mengatakan apapun yang tidak saya lakukan, 'mengapa kamu tidak lakukannya?' atau apapun yang saya lakukan, 'mengapa kamu melakukan itu?" (HR Muslim). Jadi, biarkan sahaja hal-hal remeh yang tidak penting itu lenyap dan tidak lagi mengganggu fikiran kita.


Selain itu, daripada bercakap tentang segala yang tidak kena dengan hidup kita, lebih baik kita bercakap tentang nikmat ALLAH kepada kita. Dengan bersikap seperti ini bukan sahaja dapat menghindarkan diri daripada berkeluh kesah, tetapi juga mematuhi perintah ALLAH untuk selalu mensyukuri nikmay ALLAH, "Lalu nikmat ALLAH yang manakah yang engkau dustakan?"


Salah satu cara untuk kita kembali menghargai keberkatan yang telah ALLAH berikan kepada kita, ialah dengan melihat dan mengingati orang yang kurang bernasib baik dari kita. Penderitaan yang terpaksa dilalui oleh saudara-saudara kita di Asia, di Afrika dan seluruh dunia, sudah cukup memberikan keinsafan pada diri. Begitu juga dengan kisah kehidupan anak-anak yatim piatu di Palestin. Sesekali berinteraksilah dengan kisah duka yang terpaksa mereka tempuhi, dan janganlah menenggelamkan diri dalam rasa putus asa, tetapi jadikan kisah mereka sebagai alat bersyukur kepada ALLAH atas segala yang kita miliki.


Kebanyakan orang yang mengeluh kerana terlalu stress dalam kehidupan mereka. Dalam situasi ini kita pasti memerlukan ruang untuk mengurangkan stress yang dihadapi. Pelbagai cara yang boleh dilakukan misalnya berada di tempat yang tenang dan sunyi untuk menyendiri, duduk di ruang yang gelap sambil menarik nafas dalam-dalam selama beberapa minit, atau sekadar berjalan-jalan di luar rumah. Saya juga cadangkan bacalah Al-Quran dengan terjemahannya sekali serta mendengar nasyid untuk mengembalikan ketenangan dalam hati dan fikiran.


Jika ada masa, bacalah kisah-kisah dalam sirah. Belajarlah dari pengalaman para nabi, sahabat nabi dan generasi muslim pada masa silam tentang cara mereka menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.


Satu lagi cara menarik untuk mengurangkan tabiat suka mengeluh ialah menceritakan pengalaman-pengalaman lucu yang pernah anda hadapi ketika berkumpul bersama ahli keluarga atau sahabat handai. Ini lebih menceriakan suasana berbanding anda membangkitkan keluhan yang mereka sendiri tidak dapat membantunya. Usaha ini sebenarnya dapat membuatkan orang di sekeliling gembira di samping anda sendiri dapat melupakan seketika masalah yang melanda.


Carilah persekitaran yang positif jika anda rasa suasana sekeliling anda yang membuatkan anda mengeluh.Mungkin ada kalangan rakan-rakan anda yang tidak tahu berfikiran positif atau kurang berterima kasih. Jadi sudah tiba masa untuk anda ber'ubah angin' dari persekitaran ini.


Masih mengeluh setelah membaca post yang panjang berjela ini? Adakah post ini membosankan atau terdapat bisikan-bisikan syaitan dalam hati anda. Justeru inilah masalah anda sebenarnya. Jangan biarkan syaitan terus bermaharajalela dalam fikiran anda seterusya mengarahkan mulut anda menuturkan perkara-perkara yang tidak berfaedah atau berbahaya. Pertahankan kelembapan lidah anda dan banyakkanlah menyebut kalimah-kalimah mengingati ALLAH. Banyakkah beristighfar dan berselawat kepada Nabi Muhammad SAW. WALLAHU'ALAM..




Idea asal: Majalah I April 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sesungguhnya peringatan itu bermanfaat kepada orang-orang yang beriman (QS 51:55)