Bersolat jemaah di masjid sangat dituntut kepada umat Islam. Apabila solat di masjid setiap jemaah perlu berbaris yang dinamakan saf supaya solat jemaah lebih teratur dan sempurna. Namun terdapat juga segelintir masyarakat yang masih kurang faham perihal saf dan seolah-olah mengabaikan peritah imam yang mengarahkan makmum meluruskan dan merapatkan saf.
Secara peribadi saya melihat di bahagian solat wanita yang tanpa disedari menghadapi permasalahan ini. Contohnya seorang jemaah solat atas 1 sejadah. Sejadah memang rapat tetapi jemaahnya tidak bersentuh pun. Hal ini tidak terjadi di kawasan solat lelaki kerana mereka selalu mengunjungi masjid untuk menunaikan solat terutamanya solat jumaat dan mereka dapat dilihat oleh imam. Atau mungkin juga disebabkan faktor kurangnya pengetahuan agama dalam masyarakat.
Cara luruskan Saf
Sebenarnya ada beberapa perkara lain yang juga telah diperintahkan oleh Rasulullah SAW berkaitan kesempurnaan saf iaitu:
1.Merapatkan bahu dengan bahu orang yang solat bersebelahan dengannya.
2.Merapatkan lutut dengan lutut orang yang solat bersebelahan dengannya.
3. Merapatkan buku lali dengan bubu lali orang yang solat bersebelahan dengannya.
Justeru, hanya dengan mempraktikkan perkara-perkara di atas barulah tercapai kesempurnaan saf dalam solat berjemaah dalam erti kata yang sebenar.
Daripada Nu'man bin Bashir berkata: "Aku melihat seseorang merapatkan bahunya dengan bahu saudaranya, merapatkan (melekatkan) lututnya dengan lutut saudaranya dan melekatkan mata kakinya (buku lali) dengan mata kaki saudaranya." (Riwayat Abu Daud)
Selain itu juga, daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: "(Pada waktu solat) setiap kami meratakan bahunya dengan bahu saudaranya dan telapak kakinya (buku lali) dengan telapak kaki saudaranya." (Riwayat Bukhari)
Hikmah Merapatkan Saf
~Kesempurnaan Solat~
Merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kesempurnaan solat. Anas bin Malek berkata, Rasulullah SAW telah bersabda: "Luruskan saf kamu, kerana meluruskan saf merupakan sebahagian daripada kesempurnaan solat." (Riwayat Muslim)
Solat yang sempurna akan membentuk peribadi yang baik.
~Satukan Hati~
Ia merupakan faktor yang boleh menyatukan hati umat Islam. Sabda Rasulullah: Luruskan saf solat kamu dan janganlah kamu bercerai-berai (dalam mendirikan saf), akan bercerai-berai hati kamu" (Riwayat Muslim)
Sabda baginda lagi: "Tegakkanlah saf-saf kamu sekalian sebanyak tiga kali, demi ALLAH (kamu diperintah agar) merapatkan dan meluruskan saf-saf kamu, atau ALLAh akan mencerai-beraikan hati kamu." (Riwayat Abu Daud)
~Hindari Gangguan syaitan~
Dengan meluruskan dan merapatkan saf juga dapat menghindarkan gangguan syaitan ke atas orang yang bersolat.
Sabda Rasulullah SAW: "Rapatkanlah saf kamu sekalian, dekatkanlah antara saf tegakkanlah tengkukmu. Demi ZAT yang jiwaku berada dalam genggamanya tanganNYA, sesungguhnya aku melihat syaitan menyusup di celah-celah saf seperti anak kambing." (Riwayat Abu Daud)
~Dicintai ALLAH SWT~
ALLAH mencintai mereka yang menyempurnakan saf. Sabda Rasulullah SAW: "Tidak ada suatu langkah yang sangat dicintai oleh ALLAH daripada langkah seseorang hamba untuk menyambung (menyempurnakan) saf (dalam solat)." (Riwayat Abu Daud)
~Ganjaran Pahala~
Ganjaran pahala yang besar bagi mereka yang menyempurnakan saf dalam solatnya. Rasulullah SAW bersabda: "Orang yang paling lembut bahunya di dalam solat, tidak ada suatu langkah seseorang yang melangkah yang pahalanya lebih besar daripada langkah untuk menutup celah dalam saf." (Riwayat Thabrani)
Sesungguhnya merapatkan dan meluruskan saf sangat dititikberatkan dalam agama yang syumul ini. Sebagai muslim kita perlu saling menegur dengan bijaksana serta mempraktikkan apa yang telah dipelajari supaya dapat dikongsi dengan saudara seislam kita yang lain.
"Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat. "(Riwayat Bukhari)
Dipetik dari ASUH Ogos 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sesungguhnya peringatan itu bermanfaat kepada orang-orang yang beriman (QS 51:55)