Amir termenung seorang diri. Dia berasa sedih kerana Aizat tidak mahu berkawan dengannya. Apabila mereka bertemu, Aizat akan memalingkan mukanya ke arah lain. Malah, salam Amir pun tidak dijawabnya.
"Amir, apa yang awak termenungkan itu?"tanya Cikgu Bahriah yang kebetulan lalu di situ. Amir menceritakan masalahnya kepada guru kaunseling itu.
"Awak rasa Aizat ada masalah tak?" tanya Cikgu Bahriah.
"Saya tak tahulah cikgu, tapi rasanya saya tidak buat salah apa-apa dengan dia." jawab Amir bersungguh-sungguh.
"Awak jangan risau, nanti saya jumpa Aizat," kata Cikgu Bahriah.
"Terima kasih, cikgu. hmm..cikgu boleh saya tanya lagi?"
"Awak nak tanya apa?"
"Bolehkah kita tidak menjawab salam, cikgu?" tanya Amir.
"Amir, menjawab salam hukumnya wajib, walaupun memberi salam hukumnya sunat. Orang yang sengaja tidak menjawab salam kerana bencikan orang yang memberi salam kepadanya atau kerana sombong adalah berdosa.Dia telah membuat dua kesalahan iaitu membenci orang dan tidak menjawab salam. Sebaliknya orang yang dibenci itu mendapat pahala percuma kerana telah melakukan perkara sunat iaitu memberi salam. Bukankah salam itu adalah doa sesama orang Islam?" terang Cikgu Bahriah.
"Betul tu cikgu. Tapi saya masih tidak faham menga manusia suka membenci antara satu sama lain?" tanya Amir lagi.
"Banyak sebab manusia suka membenci sesama manusia. tetapi selalunya mereka yang tergolong dalam perkara ini mempunyai masalah dalam hati mereka. Sebagai panduan supaya kita tidak mudah membenci orang lain ialah kita berfikir kenapa kita bencikan orang itu? Adakah kebencian kerana ALLAH atau kerana yang lain. Kalau kita benci kerana sikapnya yang tidak menyenangkan hati, kita berdoalah pada ALLAH supaya dia diberi hidayah oleh ALLAH, dan tidak perlulah kita membenci dia."
"Ooh, begitu. Terima kasih cikgu kerana memberi nasihat kepada saya. InsyaALLAH saya akan mengikut nasihat cikgu. Saya hendak minta diri kerana waktu rehat sudah hampir tamat." kata Amir.
"Baiklah." kata Cikgu Bahriah.
diedit daripada sebuah artikel ASUH
JAN 2011