Jumaat, 6 Mei 2011

Tanggungjawab kepada Ibu Bapa tersayang..^^

Sebuah pepatah Arab menyebut, keredhaan ALLAH terletak kepada keredhaan ibu bapa. Hal ini menunjukkan betapa tinggi kedudukan ibu bapa di sisi ALLAH. Siapa tak tahu ibu bapalah yang menjaga kita sedari dalam kandungan, memberi segala keperluan, dari makan minum, pakaian sehinggalah keselamatan dan kasih sayang yang tidak terhingga. Segalanya 
memerlukan pengorbanan yang besar sehingga tak mampu kita membalasnya.

Ibu bapa tak minta banyak pun daripada kita. Tak minta pun kita membalas jasa-jasa mereka yang terlalu banyak sebab mereka terlalu sayangkan kita. Kita saja yang tak nampak semua itu. Justeru, sebagai anak kita sewajarnya menjalankan tanggungjawab kita kepada mereka supaya kita tidak tergolong dalam anak-anak derhaka yang telah dijanjikan dengan azab yang pedih daripada ALLAH SWT.
1. Merendah diri dan hormati ibu bapa
Menderhaka kepada ibu bapa merupakan dosa besar. Apabila anak tidak mendapat keredhaan ibu bapa, maka ALLAH tidak akan meredhainya dan ibadatnya tidak akan diterima oleh ALLAH. Justeru kita seharusnya merendah diri, bercakap dengan sopan santun dengan mereka. Jangan sesekali membantah dan mengherdik kerana ia sangat ditegah ALLAH SWT.
Jika seorang anak dipanggil oleh ibu atau bapa, dia perlu menjawab panggilan dan tidak boelh bersikap acuh tak acuh terhadap suruhan ibu bapanya. Dalam Al-Quran telah menerangkan bahawa anak-anak wajib merendah diri terhadap ibu bapa sebagi bukti kasih sayang seorang anak kepada ibu bapanya.
"Dan rendahkanlah dirimu terhadap kedua orang tua dengan rasa kasih sayang." (al-Isra':24)

2. Berbakti kepada Mereka Setiap Masa
Gembirakanlah hati ibu bapa dengan membantu mereka membuat kerja rumah di samping melayan mereka dengan penuh kasih sayang. Bersedia memberi apa jua bantuan yang diperlukan. Apabila mereka sudah lanjut usia (tua) dan uzur, hendaklah dipenuhi segala keperluan dan selalu menziarahi mereka kerana ini boleh menghiburkan hati mereka.
3. Taat dan Patuh pada Suruhan
Sentiasa taat dan patuh terhadap suruhan dan ajaran ibu bapa selagi ia tidak bertentangan dengan syariat. Seperti yang telah diperintahkan ALLAH SWT supaya beribadat kepadaNYA dan mentaati ibu bapa.
ALLAH SWT berfirman: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya; ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung segala kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKU dan kepada kedua ibu bapaMU; dan ingatlah kepada AKU jua tempat kembali (untuk menerima balasan)." (Luqman: 14)
4. Doakan Ibu Bapa
Sebagai anak yang soleh kita hendaklah mendoakan kesejahteraan dan keampunan untuk kedua orang tua kita sama ada yang masih hidup atau yang telah tiada. Kita juga digalakkan untuk menjadikan ucapan salam dan minta maaf sebagai pelengkap semasa bertemu dan berpisah dengan mereka. Lebih baik lagi hadiahkan sebuah ciuman dan pelukan sebagai tanda kasih kita. (teringat zaman tinggal di asrama sekolah menengah dulu, kalau tak dapat peluk dan cium ibu ayah rasa macam tak boleh nak tidur, hehe). Jangan dengan kawan-kawan saja kita beriya-riya peluk tapi dengan ibu bapa dan ahli keluarga tidak pernah. Peluklah dan kucuplah sebelum kita tidak sempat berbuat demikian atau hanya mampu buat kali terakhir.
Al-Quran telah menerangkan dengan jelas tanggungjawab seorang anak untuk mendoakan untuk ibu bapa mereka.
"Wahai Tuhan kami, ampunilah kepadaku dan kepada kedua orang tuaku dan segenap orang Mukmin pada hari tertegaknya perhitungan." (Ibrahim: 41)
Namun apabila ibu bapa telah meninggal dunia, anak hendaklah memperbanyakkan berdoa untuk keselamatan dan mendapat rahmat dari ALLAH, banyakkan sedekah dan membaca Al-Quran untuk dihadiahkan kepada mereka. Semua kebajikan yang dilakukan akan diterima berterusan pahalanya untuk mereka di sisi ALLAH SWT.
5. Berbuat baik kepada rakan ibu bapa
Muliakan sahabat-sahabat ibu bapa kita. Jagalah hubungan silaturrahim sesama mereka walaupun mungkin pada suatu ketika nanti ibu bapa kita telah tiada. Dengan ini kita dapat menggembirakan hati ibu bapa yang melihat budi pekerti kita menghormati orang tua serta turut bersyukur kerana dapat mendidik anak mereka menjadi anak yang berperibadi mulia.

Sebenarnya banyak lagi ayat-ayat Al-Quran serta hadis yang menekankan tanggungjawab kepada ibu bapa. Namun saya harap artikel ringkas ini (yang semua orang dah belajar zaman sekolah dulu) dapat mengetuk mana-mana hati supaya dapat menilai sejauh manakah kita sudah menunaikan hak kepada ibu bapa kita.
p.s: bagi saya setiap hari adalah hari ibu dan ayah saya..Along sayang ibu dan ayah!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sesungguhnya peringatan itu bermanfaat kepada orang-orang yang beriman (QS 51:55)