Suatu waktu, Hasan dan Husin ternampak seorang lelaki dewasa mengambil wuduk dengan cara yang salah. Kedua-duanya tidak berani menegur lelaki tersebut kerana mereka masih kanak-kanak. Hasan lebih tua setahun daripada Husin. namun kedua-duanya amat disayangi oleh Rasulullah SAW. Ketika mereka kecil, Nabi kerap meletakkan mereka di kedua-dua bahu baginda ketika berjalan dan mengunjungi para sahabat. Sabda Rasulullah SAW: Sesiapa yang mencintai keduanya (Hasan dan Husin), bererti dia mencintai aku, sesiapa yang membenci keduanya maka dia membenciku."
Hasan berbisik kepada Husin. Mereka membuat rancangan untuk menyedarkan lelaki tadi. Dua kana-kanak itu kemudiannya berpura-pura tidak tahu mengambil wuduk. "Pak cik, bolehkah pak cik menghakimi siapakah di antara kami yang paling betul mengambil wuduk?" tanya mereka. Lelaki itu bersetuju untuk menjadi hakim. Hasan dan Husin mengambil peluang itu untuk menunjukkan cara berwuduk seperti yang diajarkan oleh datuk mereka, Rasulullah SAW.
Setelah Hasan dan husin selesai berwuduk, tahulah lelaki itu bahawa dia telah silap. "Aku mengucapkan terima kasih pada kalian. Hari ini aku telah belajar cara wuduk yang betul daripada kalian walaupun kalian masih kanak-kanak," kata si lelaki itu merendah diri. Hasan dan Husin tersenyum lalu meminta diri. Sejak kejadian itu, si lelaki mengambil wuduk dengan cara yang betul seperti yang ditunjukkan oleh Hasan dan Husin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sesungguhnya peringatan itu bermanfaat kepada orang-orang yang beriman (QS 51:55)